25/12/08

Andrei Arshavin ke Arsenal ?





ZENIT Harap ARSENAL Dapat Pikat ARSHAVIN

Penyerang Russia Turut dikaitkan ke Tottenham dan Real Madrid

LONDON: Bintang penyerang Russia, Andrei Arshavin mungkin dalam perjalanan ke Eropah selepas ejennya berkata pemain kelab Zenit St Petersburg itu hampir pasti akan dijual apabila jendela perpindahan dibuka, bulan depan.

Arshavin dikaitkan dengan kelab Inggeris - Arsenal dan Tottenham serta gergasi Sepanyol, Real Madrid dan menurut laporan laman web BBC kelmarin, ejennya, Dennis Lachter, berkata Arshavin dan Zenit bersetuju bahawa dia perlu mencari kelab baru, Januari ini.

"Dia sudah pasti berpindah Januari ini atau pemain dan kelab itu akan kerugian wang," kata Lachter. "Zenit dan Andrei memahami bahawa sudah tiba masanya buat mereka untuk berpisah."

Arshavin, 27, dikaitkan dengan Tottenham musim panas lalu berikutan persembahan cemerlang di Euro 2008, dan minggu ini pengurus besar Zenit, Maxim Mitrofanov dipetik sebagai berkata harganya adalah 20 juta pounds (RM102 juta) dan berharap Arsenal akan mengemukakan penawaran.

Tetapi Lachter menafikan laporan bahawa pemain itu melawat pusat latihan kedua-dua kelab ketika mengunjungi London baru-baru ini.

"Itu tidak benar," katanya. "Saya berada di London dan dia juga berada di sana, tetapi sebab utama dia berada di sana ialah untuk menjalani penggambaran iklan untuk sebuah syarikat.

"Saya berada di pusat latihan Tottenham, tetapi ada seseorang ternampak saya di sana dan membuat andaian itu - dia tidak pernah berada di sana, sama ada ke Arsenal atau Tottenham." - AFP

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin