22/12/08

Manchester United Julang Piala Kelab Dunia


YOKOHAMA (Jepun): Jaringan menakjubkan daripada Wayne Rooney pada minit ke-73 membolehkan Manchester United - yang beraksi dengan 10 pemain - menjulang Piala Kelab Dunia selepas memerah keringat menewaskan pasukan Equador, Liga de Quito (LDU), 1-0, semalam.

United menjadi kelab Inggeris pertama memenangi kejuaraan anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) selepas Liverpool gagal meraih kemenangan pada 2005 apabila mereka ditewaskan pasukan Sao Paulo dari Brazil.

Juara Eropah itu berjaya mengatasi saat sukar selepas pemain pertahanan mereka, Nemanja Vidic dibuang padang ketika aksi separuh masa kedua baru berlangsung empat minit kerana menyiku muka penyerang LDU, Claudio Bieler.

Kad merah dilayangkan kepada pemain antarabangsa Serbia itu menyaksikan United bangkit dan Rooney menjaringkan gol kemenangan di depan ribuan penyokong di Yokohama selepas Cristiano Ronaldo menyungkit cantik bola ke arahnya.

Kapten United, Rio Ferdinand, berkata mereka berdepan kesukaran untuk menjaring lebih banyak gol ketika berdepan dengan corak permainan keras dan kawalan ketat pemain LDU.

Pasukan bimbingan Alex Ferguson memenangi perlawanan format awal yang menyaksikan perlawanan antara juara Eropah dan Amerika Selatan, apabila mereka menundukkan pasukan Brazil, Palmeiras pada 1999, juga dengan keputusan 1-0. - AFP

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin